Thursday, May 5, 2011

Hari Pekerja, 1 Mei

Masih sempat untuk mengucapkan Selamat Hari Pekerja buat semua. Mari sama-sama kita jalankan tugas dengan amanah supaya apa yang kita perolehi diberkati Allah.

Friday, April 22, 2011

Hari Bumi, 22 April

Daripada Wikipedia, ensiklopedia bebas.


Hari Bumi merupakan nama bagi dua sambutan yang berbeza, kedua-duanya diadakan setiap tahun ketika musim bunga di hemisfera utara, dan musim luruh di hemisfera selatan. Hari ini diadakan untuk meningkatkan kesedaran dan penghargaan kepada alam sekitar. Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu juga meraikan Hari Bumi, yang dimulakan oleh John McConnell pada 1969, setiap tahun ketika ekuinoks, iaitu pencerapan global yang diasaskan oleh Gaylord Nelson sebagai pengajar alam sekitar, dan sejak Januari 1970, ia juga dikenali sebagai Hari Bumi, yang diraikan di kebanyakan negara setiap tahun pada 22 April.

Sejarah Hari Bumi 22 April

Simbol Hari Bumi

Pada September 1969, dalam sebuah persidangan di Seattle, Washington, Senator A.S. Gaylord Nelson mengumumkan bahawa musim bunga 1970 akan diadakan demonstrasi dari akar umbi di seluruh negara bagi pembelaan terhadap alam sekitar. Senator Nelson pada mulanya mencadangkan bantahan alam sekitar di seluruh negara untuk menjadikan alam sekitar sebagai agenda negara. Katanya, "Ia satu pertaruhan, tetapi ia berjaya." Pada 22 April 1970 dikatakan hampir 20 juta rakyat Amerika Syarikat memenuhi taman dan auditorium. Hari Bumi pertama menjadi pembuka jalan terbentuknya United States Environmental Protection Agency/US EPA.

Lima bulan sebelum Hari Bumi 22 April yang pertama, pada Ahad, 30 November 1969, The New York Times mengeluarkan rencana yang panjang oleh Gladwin Hill yang melaporkan peningkatan aktiviti mempertahankan alam sekitar. Perjuangan Gaylord Nelson bermula sekitar lebih dari 7 tahun sebelum Hari Bumi pertama diraikan.

Setiap tahun, Hari Bumi 22 April menandakan ulang tahun kelahiran bagi gerakan alam sekitar moden pada 1970. Pada tahun 1990, peringatan Hari Bumi mulai berkembang secara global. Sekitar 200 juta orang dari 141 negara di dunia tergerak untuk mengangkat isu Bumi dalam skala global.

Jadi, mari sama-sama kita jadikan logo di atas sebagai inspirasi untuk menunjukkan komitmen kita terhadap perlindungan alam sekitar. Selamat Hari Bumi !

Saturday, March 27, 2010

Sejarah SK Bendang Kering

Sebelum Sekolah Kebangsaan Bendang Kering didirikan, kanak-kanak kampong ini mendapat pendidikan di Sekolah Melayu Sayong. Mereka akan berulang alik dari Kampung Bendang Kering kira-kira dua kilometer dari kampong ini.

Bilangan kanak-kanak kampong ini bertambah dari masa ke semasa. Memandangkan hal ini kerajaan telah mendirikan bangunan sekolah iaitu sebuah bangunan (bangunan asal) yang mengandungi hanya 3 buah bilik darjah berserta dua buah rumah guru.

Pada tarikh 1 Januari 1921, perasmian bangunan seekolah ini telah dibuat. Perasmian Sekolah Kebangsaan Bendang Kering ini telah dihadiri oleh Penghulu Mukim Sayong dan Guru Pelawat Kumpulan Kota Lama Kanan sebagai mewakili pihak kerajaan.

Guru Besar pertama sekolah ini ialah Encik Duaman Bin Hj Ahmad sementara Guru Kanan ialah Encik Tawaf Bin Alang Jaafar. Bilangan murid pada ketika itu hanyalah kira-kira seramai 85 orang sahaja. Walaubagaimanapun bilangan yang sedemikian bersesuaian dengan bangunan sekolah tersebut yang mengandungi tiga buah bilik darjah.

Tanggal 27 Disember 1926 banjir besar telah melanda Negara kita. Kampung Bendang Kering juga telah mengalami banjir yang teruk. Bangunan sekolah telah dihanyutkan oleh air sejauh kira-kira 5 rantai dari tapak asalnya. Selepas banjir, bangunan sekolah telah diperbaiki semula pada 1 Jun 1927. Sementara bangunan sekolah itu dibaiki, murid-murid sekolah ini belajar di bangunan yang diusahakan sendiri oleh penduduk kampung.

Semasa zaman pendudukan Jepun di negara kita, pendidikan kanak-kanak terabai disebabkan peperangan. Bangunan sekolah hampir-hampir roboh kerana tiada perhatian yang khusus. Selepas pemerintahan zaman Jepun berakhir, sekolah ini diperbaiki segala kerosakannya. Kebocoran dan lain-lain kerosakan turut diganti.

Bilangan murid-murid sekolah ini meningkat kepada 205 orang dalam tahun 1950. Sebuah bangunan yang hanya mempunyai tiga buah bilik darjah tentulah tidak mencukupi untuk menampung bilangan murid yang ramai itu. Sebuah bangunan kayu didirikan secara bergotong-royong oleh para penduuduk kampong sebagai bangunan tambahan. Bagi menampung keperluan yang mendesak rumah guru juga turut digunakan sebagai bilik darjah.

Pada 4 Januari 1967, sekali lagi berlaku banjir besar. Banjir kaili ini telah memusnahkan keseluruhan bangunan sekolah sehingga tidak dapat digunakan lagi. Murid-murid dari sekolah ini ditumpangkan belajar di Dewan Orang Ramai Kampong Bendang Kering, Sekolah Agama Rakyat dan rumah Encik Abdul Karim bin Ibrahim.

Atas jasa baik kerajaan kita, bangunan baru telah didirikan pada 21 Ogos 1967. Bangunan ini mengandungi lima buah bilik darjah, sebuah bilik guru dan sebuah bilik guru besar beserta stor dan pejabat kerani seolah. Sekaligus sekolah ini turut mendapat sebuah bangunan kantin, bilik air yang agak baik dan bekalan elektrik. Bangunan baru ini digunakan pada 8 ogos 1968.

Logo Sekolah Kebangsaan Bendang Kering

Tanggal 26 November, sebuah bangunan tambahan diperolehi. Bangunan baru ini mengandungi tiga buah bilik darjah. Setelah siap, majlis perasmian dijalankan oleh Y.B. Tengku Razaleigh Hamzah yang pada masa itu menjawat jawatan Menteri Kewangan Malaysia.

Dari tahun 1921 sehingga kini, seramai 100 orang guru pernah berkhidmat di sekolah ini termasuk 14 orang guru besar.